AHMAD Zahid (tengah) diiringi Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua kiri) dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohammad Sabu (dua kanan) pada Majlis Perasmian Peluncuran Rancangan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030. FOTO Aswadi Alias

Suraya Ali

Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan akan meletakkan jawatan dalam politik kerana masalah kesihatan.

"Saya sendiri pun tak tahu yang saya akan melakukan perkara itu (meletakkan jawatan)," kata Ahmad Zahid kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023-2030 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid mengakui beliau ada menjalani prosedur pembedahan prostat.

"Ya, semua orang lelaki ada prostat, tapi janganlah buat spekulasi yang macam-macam ini," katanya yang turut memaklumkan beliau kini sihat.

Pada November 19 lalu, anak sulung beliau, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mengesahkan bapanya dalam keadaan sihat selepas menjalani prosedur pembedahan kecil.

Dalam hantaran dimuat naik di Instagram Nurulhidayah yang lebih mesra disapa sebagai Kak Long itu dilaporkan berkata, beliau sangat menghargai segala keprihatinan dan doa daripada orang ramai mengenai kesihatan bapanya.

Sementara itu pada 23 November, Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebook menyatakan beliau sedang berehat atas nasihat doktor sebelum kembali bertugas.

Minggu lalu, Ahmad Zahid kembali bertugas dengan menghadiri mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 12:59 PM