DATUK Seri Aminuddin Harun. FOTO Azrul Edham
DATUK Seri Aminuddin Harun. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan membentangkan Belanjawan 2024 berlandaskan Pelan Pengurusan Kewangan Madani pada Jumaat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, pelan berkenaan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 20 September lalu.

Katanya, Negeri Sembilan adalah negeri pertama menyediakan Pelan Pengurusan Kewangan Madani di negara ini, bagi memastikan belanjawan tahunan itu disediakan secara mampan, saling menghormati dan ihsan.

"Belanjawan itu yang mengandungi 10 teras terkandung dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan akan dilaksanakan secara berperingkat dan bersifat inklusif merentasi sempadan politik, geografi dan kelompok masyarakat.

"Penyediaan belanjawan ini dilaksanakan secara teliti melalui pelbagai sesi perbincangan dan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan enam bidang tumpuan merangkumi kerohanian, infrastruktur, sosial, pertanian, pelancongan dan pentadbiran terus diperkukuhkan.

"Kita berharap Belanjawan 2024 ini dapat dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini terutama dalam membantu meringankan beban yang digalas terutamanya menangani isu peningkatan kos sara hidup dan keterjaminan makanan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Katanya, belanjawan itu adalah yang pertama bagi Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, pada 12 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 5:10 PM