ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Toyota Avanza dalam kemalangan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis berhampiran UniMAP. FOTO Ihsan JBPM Perlis
ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Toyota Avanza dalam kemalangan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis berhampiran UniMAP. FOTO Ihsan JBPM Perlis
Aizat Sharif


Arau: Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabas sebelum merempuh sebuah lori satu tan di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis berhampiran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Ashraf Mohd Nor, 26 berasal dari Kangar, dipercayai akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.

Kejadian berlaku apabila Toyota Avanza yang dipandu menuju ke Arau dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar belakang lori yang turut dipercayai menuju ke destinasi sama.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.03 petang dan seramai tujuh anggota termasuk pegawai anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Arau dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Seorang mangsa lelaki tersepit di tempat duduk pemandu MPV itu dan pemandu lori hanya cedera ringan.

"Kita melakukan operasi mengeluarkan pemandu MPV dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.

"Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 12:46 AM