Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Keluarga mangsa buli mempersoalkan hukuman terlalu ringan dikenakan terhadap pelajar senior Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang didakwa membuli anak mereka berusia 16 tahun.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka dimaklumkan pihak sekolah sudah mengenakan hukuman rotan dan kerja amal terhadap pembuli terbabit namun ia tidak cukup untuk dijadikan pengajaran kepada pelajar lain.

"Ia sebagai satu pengajaran kepada pelajar lain, kenapa anak kami (yang dibuli) perlu menjauhkan diri dari sekolah?

"Kalau perkara ini tidak ditangani dengan segera kami khuatir ia akan menjadi ikutan pelajar junior, oleh itu kami rasa pembuli terbabit perlu dikeluarkan dari sekolah," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini selepas selesai dirakam keterangan berhubung laporan yang dibuat terhadap mereka.

Wanita itu berkata, anaknya masih bersemangat untuk meneruskan persekolahan di MCKK, namun dia khuatir akan keselamatan anak bongsunya itu.

"Tujuan kami membuat hantaran (media sosial) itu kerana mahu berkongsi dengan orang ramai mengenai apa yang berlaku, kami tidak tahu mahu hubungi sesiapa.

"Kami mahukan keadilan buat anak kami, dia hendak sangat pergi ke sekolah dan jumpa rakan jadi kami mahu pastikan persekitaran sekolah selamat, tetapi si pelaku itu masih ada di sekolah. Kami risau untuk menghantar anak kami balik semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 7:37 PM