AHMAD Samsuri ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2023. FOTO Faizul Azlan Razak
AHMAD Samsuri ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2023. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu tidak menolak kemungkinan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan untuk peranan semak dan imbang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mempunyai empat kuota untuk Adun lantikan berkenaan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya juga boleh membuat keputusan sama ada mahu melantik semua empat Adun terbabit atau kurang bergantung kepada keperluan.

"Kita akan pertimbang Adun lantikan ini berdasarkan kriteria-kriteria mengikut keperluan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

"Malah, kita akan melihat perkara itu dalam masa terdekat ini bagi memenuhi kriteria yang diperlukan. Kita juga akan perhalusi berapa orang yang perlu dilantik sekali pun boleh melantik empat orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Katanya, pihaknya juga mengambil kira setiap teguran dan kritikan rakyat termasuk aduan kepada mana-mana agensi kerajaan bagi penambahbaikan.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri membayangkan tiada keperluan melantik Adun lantikan bagi memainkan peranan semak dan imbang walaupun tiada wakil pembangkang di dalam Dun negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:39 PM