ANGGOTA APM Kota Setar membawa mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke PPS. FOTO Bernama
ANGGOTA APM Kota Setar membawa mangsa banjir dari Kampung Bukit, Mukim Derang ke PPS. FOTO Bernama
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir di Kedah terus meningkat kepada 603 mangsa membabitkan 174 keluarga, setakat 5 petang ini, berbanding 341 mangsa daripada 102 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini, manakala PPS Dewan Taman Seri Bagan di daerah Kota Setar sudah ditutup sepenuhnya pada 1.34 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, daripada enam PPS itu, dua baru dibuka di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu.

"Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkan berpindah ke PPS atau tempat selamat sekiranya rumah mereka terus dinaiki air," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Selain PPS SK Malau dan Dewan PPK Lubuk Batu, PPS sedia ada membabitkan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, Dewan Kampung Tradisi di Kubang Pasu, SK Taman Aman di Kota Setar dan SK Bukit Hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 6:04 PM