Anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan seorang mangsa dari dalam van yang terbabas ke dalam cerun bukit dengan kedalaman 20 kaki dalam kejadian di Bukit Genting. FOTO MIKAIL ONG
Anggota Bomba dan Penyelamat berjaya mengeluarkan seorang mangsa dari dalam van yang terbabas ke dalam cerun bukit dengan kedalaman 20 kaki dalam kejadian di Bukit Genting. FOTO MIKAIL ONG
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Polis sudah mengenal pasti identiti seramai 11 mangsa yang terbabit dalam kejadian van terjunam ke dalam cerun di Jalan Teluk Kumbar, Bukit Genting di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, seorang wanita dilaporkan maut di tempat kejadian, manakala 10 lagi termasuk pemandu van dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, hasil siasatan mendapati van dipandu lelaki tempatan itu membawa 10 pelancong yang terdiri daripada sembilan warga Singapura dan seorang wanita tempatan.

Katanya, bagaimanapun, ketika menuruni bukit di kawasan itu, pemandu lelaki yang berusia 61 tahun dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terjatuh ke cerun sedalam kira-kira enam meter.

"Akibat kejadian, seorang wanita warga Singapura berusia 50-an maut di lokasi susulan mengalami kecederaan parah di kepala.

"Manakala sembilan lagi pelancong terdiri daripada lapan warga Singapura dan seorang wanita tempatan selamat, namun ada yang mengalami kecederaan pada leher, kaki dan tangan.

"Mereka yang terselamat termasuk pemandu itu berusia antara 55 hingga 69 tahun dan kesemua sudah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kamarul berkata, penumpang wanita tempatan berusia 56 tahun itu adalah pekerja kilang di Singapura.

"Mangsa dipercayai datang bersama pelancong dari negara berkenaan.

"Mayat mangsa yang terkorban dalam insiden itu dihantar ke Hospital Balik Pulau bagi bedah siasat dan kita juga akan maklum kejadian pada pihak Kedutaan Singapura," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam Harian Metro melaporkan insiden berkenaan selepas pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pada jam 8.14 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 12:10 PM