ANWAR ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di Turkish House, semalam.
ANWAR ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di Turkish House, semalam.
BERNAMA

New York: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau dijemput untuk ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, pada Oktober.

Anwar berkata beliau akan berada di UAE pada 5 dan 6 Oktober untuk lawatan kerja, sebelum hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dihoskan Arab Saudi di Riyadh pada 16 Oktober.

"UAE dan Arab Saudi mempunyai kerjasama yang lebih kukuh dengan kita. Kami berharap mereka akan melabur dengan lebih banyak," kata Anwar yang berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptamanya bertajuk 'Regaining Malaysia's Lead in Asia' (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia) pada majlis Invest Malaysia New York pada Khamis, Anwar berkata terdapat minat yang semakin meningkat daripada anggota GCC terhadap ASEAN.

"Kami (ASEAN) menerima minat yang semakin meningkat daripada Arab Saudi, UAE dan Qatar," katanya.

Hubungan dua hala dan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan UAE terus berkembang, dengan perdagangan dan pelaburan yang semakin meningkat.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di luar UNGA pada Selasa berkata dari Januari hingga April 2023, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara meningkat 5.7 peratus, iaitu daripada RM11.25 bilion kepada RM11.89 bilion.

Semasa lawatan ke Kuala Lumpur pada Mei, Menteri Perdagangan UAE Thani Al Zeyoudi berkata pelaburan Malaysia di UAE berjumlah AS$150 juta, dan pelaburan UAE di Malaysia mencecah AS$220 juta.

Arab Saudi pula merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 mencatatkan AS$10.26 bilion, meningkat 159.2 peratus daripada 2021.

Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 7:33 AM