ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke hospital. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Tenom: Lelaki maut terperosok bawah kereta selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 4, Jalan Tenom-Keningau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, warga Filipina berusia 19 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Hyundai Atos dari arah Tenom memasuki simpang Taman Sri Naluyan dilanggar oleh sebuah motosikal yang menuju ke arah Tenom.

Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di jalan raya dan dipercayai tidak sedarkan diri.

"Sejurus itu, sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi dari arah Keningau menuju ke Pekan Tenom tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.

"Penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta terseret sejauh 50 meter," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hasan berkata, penunggang motosikal itu parah di kepala dan badan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 10:33 AM