Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
Alzahrin Alias


Kajang: Kementerian Kewangan akan memberikan penjelasan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan semula atau sebaliknya di Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau akan memberikan penjelasan mengenai GST itu dalam sesi persidangan Dewan Rakyat pada minggu depan.

"Beberapa hari ini juga saya sudah jalankan libat urus dengan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Ada banyak persoalan dibangkitkan mengenai GST ini.

"Saya nyatakan, akan beri penjelasan pada Isnin ini," katanya selepas melancarkan Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2023 NAPIC di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu berkata kerajaan perlu mengurangkan subsidi kepada golongan kaya sebelum memperkenalkan semula GST.

Melalui wawancara bersama Bloomberg ketika Sidang Kemuncak Asia Ke-10 Institut Milken, Perdana Menteri mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang paling cekap dan telus.

"Bila kita (boleh) melaksanakannya? Ia bergantung kepada ambang. Apabila orang ramai hidup dalam kemiskinan yang teruk, anda perlu memperkenalkan dasar cukai progresif, bukannya dasar secara asas yang meluas yang memberi kesan kepada golongan yang sangat miskin.

"Jadi, anda perlu beri sedikit masa, tetapi apakah (ini bermakna) anda tidak melakukan apa-apa? Tidak. Anda perlu meluaskan asas cukai, ia pasti. Tetapi anda perlu mengurangkan subsidi kepada orang kaya terlebih dahulu," katanya.

Anwar menambah, rasionalisasi subsidi tidak akan menjadi keputusan popular, tetapi kerajaan mempunyai empat tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Justeru, beliau berkata kerajaan perlu melakukan rasionalisasi subsidi secepat mungkin kerana perbelanjaan subsidi untuk negara adalah antara yang tertinggi di Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 1:39 PM