ISHAM Jalil. FOTO Arkib NSTP
ISHAM Jalil. FOTO Arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Pemecatan dan penggantungan pemimpin serta ahli Umno yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, kelmarin adalah sah di sisi perlembagaan parti.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, berdasarkan rujukannya dengan peguam, mengikut Perlembagaan Umno sebenarnya proses tindakan pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada MKT.

"Proses-proses lain yang membabitkan Lembaga Disiplin dan sebagainya sebenarnya hanyalah pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

"Oleh itu, apabila MKT sudah memperakukan pemecatan dan penggantungan ahli Umno maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan Umno dan undang-undang serta peraturan," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas kritikan beberapa pemimpin Umno termasuk mereka yang digantung serta dipecat, yang mendakwa tidak melalui proses wajar seperti bela diri sebelum berdepan tindakan.

Mengulas lanjut, Isham berkata, semua yang dipecat atau digantung termasuk bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar masih boleh merayu atau berjumpa Lembaga Disiplin untuk membela diri.

"Dia (Noh) masih boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari 2023 atau esok. Lembaga Disiplin Umno bukanlah Mahkamah Persekutuan dan hukuman kepada Noh dan Khairy (Jamaluddin) ini bukanlah hukuman penjara atau hukuman mati.

"Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Noh dan Khairy serta lain-lain boleh mengalahkan bukti-bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan seadilnya," katanya.

Beliau juga menasihatkan semua ahli khususnya yang digantung tidak mencabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk berdepan pemecatan seperti dilakukan sebelum ini, memandangkan tindakan ini akan memburukkan keadaan selain menunjukkan keangkuhan sendiri.

Isham juga yakin Lembaga Disiplin sudah membuat penelitian terhadap laporan dan bukti yang ada sebelum membuat keputusan menggantung Noh dan memecat Khairy serta mengambil tindakan kepada 40 orang ahli Umno yang lain.

"MKT tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin. Majlis Kerja Tertinggi kebiasaannya memperakukan saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes-kes disiplin yang melibatkan ahli-ahli parti," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Khairy dipecat atas tindakannya menyatakan Umno sesat ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Sungai Buloh yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada Umno.

"Dia (Khairy) pastinya tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini, tetapi dengan sedikit-sebanyak mengorbankan calon-calon Umno yang bertanding di tempat-tempat lain," katanya.

Katanya, seramai 25 ahli yang dilucut keahlian disebabkan mereka bertanding sebagai calon atau menjadi penyokong calon di atas tiket lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) atau bebas ketika PRU-15.

"Saya dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin sudah memeriksa dan merujuk perkara ini dengan maklumat daripada SPR. Ini termasuklah seorang pegawai Noh yang bertanding sebagai calon bebas di Tanjung Karang menentang calon Umno.

"Sementara 15 ahli didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dengan bukti-bukti kukuh yang menunjukkan mereka menyokong parti lawan terutama PN semasa kempen PRU-15.

"Saya dimaklumkan terdapat banyak laporan, video dan gambar yang menunjukkan antaranya mereka berkempen dan memakai baju PN untuk calon lawan menentang calon Umno," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 12:56 PM