GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis menahan ahli geng kongsi gelap 08 selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang juga pemandu lori ditahan di rumah di Puchong.

Menurutnya, semakan kesalahan lampau ke atas suspek mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah dan 12 rekod jenayah narkotik.

"Modus operandi suspek adalah dengan mengumpil pintu atau tingkap belakang rumah mangsa dan menyasarkan kawasan perumahan yang tidak mempunyai pengawal keselamatan.

"Penglibatan suspek dalam daerah Ampang adalah sebanyak empat kes. Ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis methamphetamin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini bagi mendapatkan perintah reman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Bagi kesalahan seterusnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 merujuk kepada memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap yang diisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 3:25 PM