SOFIA  menjalani 16 kemoterapi sejak 2020 hingga Ogos 2021.
SOFIA menjalani 16 kemoterapi sejak 2020 hingga Ogos 2021.
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Walaupun diuji dengan penyakit kanser saraf atau neuroblastoma tahap empat, kanak-kanak cekal ini tidak patah semangat, malah menyimpan cita-cita bergelar ustazah suatu hari nanti.

Tuan Nur Afrina Sofia Tuan Khalid, 9, juga mahu menjadi guru yang dapat mendidik anak bangsa meskipun tidak pasti takdir hidupnya bagaimana.

Ibunya, Noor Adibah Ahmad, 42, berkata, anak bongsu itu yang dipanggil Sofia menjadikan pendakwah bebas, Ustazah Asma' Harun sebagai sumber inspirasi dalam mendalami ilmu agama.

"Setiap kali ditanya mengenai cita-cita, Sofia akan jawab ustazah atau guru," katanya ketika ditemui di Kampung Nail, Kuala Besut di sini, semalam.

Menceritakan derita Sofia, Noor Adibah berkata, penyakit anak keempat itu bermula dengan sakit gigi diikuti penglihatan terganggu dan lumpuh badan pada penghujung 2020.

"Saya bawa dia ke klinik gigi dan Sofia diberi ubat antibiotik. Tetapi dalam tempoh dua bulan, bengkak pada bawah pipi tidak surut, hingga doktor merujuknya ke ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kerana mengesyaki dia ada masalah gigi geraham.

"Bagaimanapun, ujian X-Ray mendapati dia tiada masalah gigi tetapi sampel diambil menunjukkan Sofia menghidap kanser saraf," katanya.

Noor Adibah berkata, Sofia sudah menjalani 16 kemoterapi sejak 2020 hingga Ogos 2021 dan kembali bersemangat selepas rawatan itu selesai serta sempat ke sekolah tahun lalu.

Namun kesihatannya kembali merosot pada awal tahun, bahkan timbul benjol di dahinya dan anaknya itu mengadu tidak dapat melihat.

"Tahun lalu sebelah matanya masih boleh nampak, tetapi pada Julai lalu, Sofia mengadu kedua-dua matanya sudah tidak dapat melihat.

"Kansernya membiak cepat walaupun doktor sudah buang ibu kanser di perutnya, sel kanser aktif di seluruh badan terutamanya kawasan yang bengkak," katanya.

Akuinya, dalam tempoh tiga tahun ini berat Sofia menyusut daripada 27 kilogram (kg) hingga 13 kg.

"Sebagai ibu, perasaan hiba dan sayu melihat kesihatan Sofia terus merosot. Dia sudah tidak larat berjalan dan terpaksa didukung untuk mandi di bilik air.

"Disebabkan penyakit ini dia menghadapi masalah untuk makan kerana rahang bengkak, bahagian mulut menjadi sempit serta tidak boleh mengunyah makanan dengan sempurna," katanya.

Adibah berkata, dia reda serta bersedia menerima segala kemungkinan apabila doktor memaklumkan harapan untuk Sofia sembuh adalah tipis dan mungkin hanya bertahan dua bulan lagi.

"Buat masa sekarang dia hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan saya turut bawa dia berubat kampung supaya boleh tidur lena," katanya yang memberitahu semangat anaknya kuat melawan penyakit itu.

Katanya, mereka menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM 300 sebulan untuk keperluan Sofia, manakala suaminya, Tuan Khalid Tuan Hamat, 44, yang sebelum ini menjadi nelayan, banyak melakukan kerja kampung.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbang ke akaun Agro Bank 2006361000330941 atas nama Nor Adibah Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 7:00 AM