Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Empat rakan dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini, atas dua pertuduhan membunuh dua lelaki bertatu yang dibungkus kanvas dan dibuang di kawasan semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng, bulan lalu.

Tertuduh, Lok Kian Seng, 47, Daniel Ho Chin Cer, 33, Woon Chee Weng, 44, dan Lim Chien Voon, 41, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Khairulnisak Hassni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh yang diwakili peguam, Nahdan Rengganathan Abdullah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, keempat-empat mereka bersama seorang yang masih bebas didakwa membunuh Stanley Chew Kok Kin, 24, dan Soo Yao Long, 26, di rumah No 6, Jalan Melur 2, Taman Paya Rumput Perdana antara 7 hingga 10 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun.

Tertuduh, Lim Chien Voon (depan), Lok Kian Seng (baju lokap), Daniel Ho Chin Cer (rambut kuning) dan Woon Chee Weng dituduh membunuh dua lelaki bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Tertuduh, Lim Chien Voon (depan), Lok Kian Seng (baju lokap), Daniel Ho Chin Cer (rambut kuning) dan Woon Chee Weng dituduh membunuh dua lelaki bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin.

Pada 10 Julai lalu, Harian Metro melaporkan, dua mayat lelaki bertatu yang berbungkus kanvas ditemui di kawasan semak di tepi Jalan Kampung Ujong Padang, Cheng.

Mayat itu ditemui pekerja lori penghantar barangan runcit berusia 35 tahun ketika melalui tempat kejadian jam 9 pagi, sebelum memeriksa dua bungkusan kanvas yang kelihatan pelik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 11:15 AM