FAHMI menyampaikan ucapan pada Program Merdeka@Komuniti Dun Dengkil dan Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor Tahun 2023 di Jenderam hari ini. FOTO Bernama
FAHMI menyampaikan ucapan pada Program Merdeka@Komuniti Dun Dengkil dan Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Madani Peringkat Zon Selatan Negeri Selangor Tahun 2023 di Jenderam hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Dengkil: Kerajaan akan mengumumkan pakej talian pascabayar khusus untuk penjawat awam esok, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pakej istimewa itu ditawarkan berikutan rungutan yang diterima daripada petugas barisan hadapan di lapangan berkaitan harga langganan talian pascabayar ketika ini.

"Insya-Allah esok ada sedikit pengumuman khusus untuk penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Merdeka@Komuniti Dewan Undangan Negeri (Dun) Dengkil di Balai Raya Taman Desa Jenderam Hilir di sini hari ini.

Bagi petugas media pula, Fahmi berkata, perbincangan mengenai pakej talian pascabayar akan dibuat dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) esok dan keputusannya akan diumumkan pada masa akan datang.

"Insya-Allah saya akan bangkitkan (untuk petugas media), kita tengok sama ada mereka (telco) setuju atau tidak," katanya sambil menambah banyak lagi pengumuman baik akan dibuat melalui usaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Fahmi berkata, usaha KKD tidak akan terhenti dalam mengurangkan beban pengguna talian perkhidmatan telekomunikasi malah akan dipergiatkan setiap masa bagi memastikan segenap lapisan masyarakat menikmati kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada kadar harga yang berpatutan.

"Insya-Allah selepas kita melaksanakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP), harga Internet akan berkurangan," katanya.

Pada 31 Julai lalu, Fahmi dilaporkan berkata, harga Internet dijangka lebih murah menjelang September ini apabila MSAP diguna pakai.

Pada 11 Julai lalu, MCMC berkata, pengurangan harga runcit bagi perkhidmatan jalur lebar tetap berdasarkan MSAP hanya boleh dilaksanakan selepas perjanjian akses dimeterai antara pembekal perkhidmatan.

MCMC memaklumkan buat masa ini, kebanyakan pembekal akses telah atau sedang dalam proses penerbitan Tawaran Akses Rujukan (RAO).

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, KKD akan menyiasat dakwaan aktiviti penjualan minyak masak paket bersubsidi dilakukan secara dalam talian sebelum mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Saya lihat perkara ini sebagai serius. Maklumat ini saya akan panjangkan kepada KPDN. Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, MCMC akan jalankan tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang," katanya.

Harga subsidi minyak masak paket sekilogram ditetapkan pada harga RM2.50 sejak program subsidi dimulakan pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 4:13 PM