JBPM melakukan tinjauan udara bagi memantau kebakaran kawasan hutan dianggarkan seluas empat hektar pada ketinggian lebih 500 meter dari aras laut di Gunung Kenderong. FOTO JBPM Perak
JBPM melakukan tinjauan udara bagi memantau kebakaran kawasan hutan dianggarkan seluas empat hektar pada ketinggian lebih 500 meter dari aras laut di Gunung Kenderong. FOTO JBPM Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan tinjauan udara bagi memantau kebakaran hutan di ketinggian lebih 500 meter dari aras laut di Gunung Kenderong di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, tinjauan menggunakan helikopter Augusta AW 139 dari Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM Bertam, Pulau Pinang.

Menurutnya, biarpun kebakaran hutan seluas empat hektar itu reda akibat hujan semalam, namun pemantauan berterusan dilakukan berikutan ada kemungkinan api boleh merebak semula selepas hujan berhenti.

Beliau berkata, tinjauan udara pagi tadi mendapati masih terdapat kebakaran saki baki tunggul kayu di lokasi dan dikhuatiri boleh mengakibatkan kebakaran semula.

"Tindakan susulan oleh pihak JBPM akan dilakukan bagi menangani perkara itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, selain tinjauan udara operasi hari ini turut membabitkan pemantauan darat oleh pasukan yang terdiri dari enam anggota JBPM, polis (dua), Angkatan Pertahanan Awam (empat) dan Jabatan Perhutanan (tiga).

Semalam, JBPM Perak menerima maklumat berlaku kebakaran di gunung berkenaan pada jam 3.54 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diatur gerak ke lokasi.

Berdasarkan maklumat daripada malim gunung serta Jabatan Perhutanan, jangka masa yang perlu diambil untuk sampai ke 'hotspot' (titik) kebakaran adalah antara dua hingga tiga jam jika berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 2:22 PM