AWANG (kiri) dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir. FOTO Arkib BERNAMA & NSTP
AWANG (kiri) dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Anwar berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir. FOTO Arkib BERNAMA & NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim yang didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri ditetapkan bermula pada Julai 2026.

Perkara itu disahkan peguam bela Anwar, Datuk SN Nair ketika dihubungi selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, hari ini.

"Mahkamah mengarahkan kedua-dua peguam pihak terbabit untuk melengkapkan dokumen kes sebelum perbicaraan berlangsung selewat-lewatnya pada 30 November 2023 dan memfailkan sebarang permohonan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) jika ada dalam tempoh sebulan dari hari ini.

"Tarikh bicara ditetapkan pada 13 hingga 16, 20 dan 21 Julai 2026," katanya.

Pada 3 Mac lalu, Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memfailkan saman itu menerusi Tetuan SN Nair & Partners selaku plaintif dengan menamakan Awang sebagai defendan tunggal.

Awang dikatakan mengeluarkan kenyataan fitnah apabila mendakwa sikap pendendam Perdana Menteri berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Anwar berkata, defendan dengan sengaja memfitnah walaupun plaintif sudah menafikan secara terbuka dan pada realitinya tidak mencampuri tugas serta kuasa agensi penguatkuasaan dan Jabatan Peguam Negara.

Oleh itu, katanya, dakwaan penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan terpilih tidak mempunyai kebenaran, palsu, tidak berasas serta berniat jahat.

Anwar berkata, defendan menyedari sepenuhnya komitmen plaintif yang dibuat kepada masyarakat umum beberapa kali mengenai hasrat dalam membasmi rasuah dan sokongan penuh terhadap kebebasan institusi penyiasatan, pendakwaan serta badan kehakiman.

Berdasarkan notis tuntutan itu, pada 21 Februari lalu, Awang Solahuddin mengungkapkan atau membuat kenyataan kepada pemberita di lobi di luar Dewan Rakyat mengenai Perdana Menteri.

Nair berkata, keseluruhan ungkapan atau kenyataan Awang Solahuddin dipetik dan diterbitkan menerusi artikel Malaysiakini bertajuk "MP PAS: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir" dan artikel Berita Harian bertajuk "Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Tun M" pada tarikh sama (21 Februari).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 12:51 PM