WAHID Sikon. FOTO Alias Abd Rani
WAHID Sikon. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada akan memilih Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau calon Bebas.

Ini kerana kebanyakan pengundi terdiri penduduk di Simpang Jeram masih meneliti tawaran dikemukakan calon bertanding sekali gus menarik minat parti pilihan mereka.

Pemandu lori, Wahid Sikon, 57, berkata, dia belum membuat keputusan mengundi calon mana malah lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehinggalah hatinya terbuka untuk memilih calon.

Dia berkata, dengan tempoh kempen PRK Simpang Jeram masih panjang, dia berharap calon yang berkempen itu kelak menampilkan kredibiliti untuk membantu rakyat di kawasan ini.

"Saya perlu lihat khidmat mereka terlebih dulu, macam mana mereka boleh atasi masalah di sini terutama kesesakan lalu-lintas.

"Kita juga mahu melihat Simpang Jeram ini berkembang pesat dan sebab itu saya masih menanti apa perancangan yang perlu dibangunkan di sini.

"Yang penting kurang bercakap tetapi kerja berjalan. Kita masih ada masa lain untuk membuat penilaian dan saya harap, mereka ada kesungguhan untuk membantu kami," katanya ketika ditemui.

Nada sama disuarakan penduduk, Md Rosli Rajikin, 63, yang mana dia belum membuat keputusan untuk memilih calon namun berharap calon dipilih kelak mampu mengatasi masalah penduduk di Simpang Jeram terutama banjir.

"Masyarakat di sini mengharapkan calon yang dipilih boleh menjenguk masalah rakyat, dapat membantu menyuarakan keluhan kami kepada pihak atasan," katanya.

Sementara itu, tinjauan sekitar Simpang Jeram mendapati, kebanyakan bendera parti bertanding mula memenuhi kawasan tertentu.

Senario ini dijangka bertambah rancak pada kempen minggu kedua bermula Sabtu ini yang mana jentera calon bertanding akan lebih bertungkus-lumus untuk meraih undi terutama pengundi atas pagar.

Bagi peniaga, Zulkifli Ahmad, 60, apa yang diharapkan kelak iaitu wakil rakyat dipilih kerap meninjau masalah rakyat di kawasan ini.

"Kalau ditanya sekarang (pilih calon mana), saya belum buat keputusan, biasanya saya akan lihat dulu gerak kerja kerana semua calon, kemudian baru kita buat pilihan.

PRK Simpang Jeram dan Parlimen Pulai diadakan pada 9 September ini susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu, akibat pendarahan otak.

Pada PRK kali ini, PH melalui calon Parti Amanah Negara (Amanah) menampilkan bekas jurutera, Ir Nazri Abd Rahman, Perikatan Nasional (PN) pula mengetengahkan pakar bedah saluran darah, Dr Mazri Yahya manakala ahli perniagaan, S Jeganaathan pula calon Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 1:37 PM