Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy untuk membatalkan saman difailkan 1MDB terhadap mereka dengan menuntut bayaran AS$6.59 bilion.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas mendapati dakwaan penipuan dan konspirasi yang dibuat 1MDB dalam tuntutan samannya terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Arul Kanda selaku defendan, tidak boleh diputuskan melalui pendekatan terus dan mudah.

Ketika membacakan keputusannya, Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, tuntutan saman yang difailkan syarikat pelaburan strategik itu tidak sesuai untuk dibatalkan pada peringkat ini dan ia hendaklah diputuskan melalui perbicaraan penuh dengan mendengar keterangan saksi.

"Perkara ini tidak boleh diputuskan melalui bukti adidavit dan ia bukan kes yang boleh dibatalkan secara terus. Dakwaan oleh plaintif (1MDB) bahawa defendan melakukan penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan melalui pendekatan yang mudah.

"Oleh itu saya mengekalkan status quo dan kes saman ini akan diputuskan melalui perbicaraan penuh," katanya.

Menurut Ahmad Mohzanuddin, keputusan menolak permohonan (membatalkan saman) itu bukan pengakhiran kepada kedua-dua defendan kerana mahkamah akhirnya akan memberikan perhatian dan pertimbangan sepenuhnya kepada hujahan mereka dan beberapa pembelaan lain ketika perbicaraan kelak.

Beliau berkata, perkara sama juga terpakai kepada kausa tindakan plaintif di mana semua pihak berada pada kedudukan yang sama sehingga tiba masa baginya (hakim) membuat keputusan selepas mendengar saksi dan meneliti dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.

"Cuma pada peringkat ini, bukan sahaja tuntutan plaintif bukan satu kes yang jelas dan secara terang-terangan boleh ditolak begitu sahaja, tetapi semua isu yang dibangkitkan memerlukan siasatan lanjut dan menyeluruh melalui proses perbicaraan.

"Akhirnya, keadilan tetap menjadi milik pihak yang berhak di akhir proses undang-undang ini, cuma kita melalui proses yang lebih panjang yang ia perlu atas nama keadilan, dan untuk mencapai keadilan," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Mod Irwan dan Arul Kanda masing-masing membayar RM10,000 kepada 1MDB dan kemudian menetapkan pada 14 September ini bagi pengurusan kes.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Lim Chee Wee mewakili 1MDB, manakala peguam Sanjay Mohan bertindak bagu Arul Kanda dan Lavinia Kumaraendran untukMohd Irwan.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei 2021 berhubung dakwaan mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan itu melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu, tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran berkenaan dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 5:13 PM