DR Wan Salim. FOTO Arkib NSTP
DR Wan Salim. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Parti Islam adalah rekaan manusia dan tidak bersifat suci atau sakral maka ia tidak mengikat seorang Muslim, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Wan Salim berkata, tidak berdosa apatah lagi menjadi kafir kepada sesiapa yang tidak menyokong parti Islam atau mengundi parti lain.

Beliau berkata, hanya sikap taksub yang mendorong seseorang bagi menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Ilahi.

"Mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan ini mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.

"Perlu diingatkan bahawa Islam tidak akan tegak dengan slogan semata-mata, tetapi ia ditegakkan dengan amalan dalam kehidupan rakyat sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap.

"Sebaliknya Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilaporkan menafikan dakwaan beliau melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan harapan (PH) di Kelantan sebagai melawan perjuangan Islam.

Wan Salim berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, mencanangkan perjuangan bagi menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana namun yang penting umat Islam mempraktikkan ajaran Islam dalam diri masing-masing, maka secara automatik Islam akan tertegak di dalam negara.

"Setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya (Islam) di sudut akidah (kepercayaan) mahupun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

"Manakala parti Islam pula hanyalah ciptaan manusia sebagai sebuah wadah bagi memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajaran menerusi pentadbiran negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 8:18 PM