Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Sebanyak 22 rumah di Kampung Bukit Lata, di sini, rosak susulan letupan stor penyimpanan mercun di Pekan Mundok, Thailand, semalam.

Tinjauan ke kampung berkenaan mendapati kebanyakan rumah penduduk pecah cermin tingkap, siling runtuh, selain ada beberapa kediaman yang mengalami keretakan.

Seorang penduduk, Syed Mohd Azman Syed Abd Aziz, 57, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam tandas dan hampir terjatuh kerana merasa seperti ada tolakan sangat kuat.

"Saya bergegas keluar kerana menyangka letupan bom, manakala ahli keluarga lain turut keluar dari rumah kerana bimbang jika rumah akan runtuh.

"Sebaik keluar, saya melihat jiran lain juga terpinga-pinga serta ketakutan sebelum ternampak kepulan asap di seberang sungai, sebelum dimaklumkan berlaku letupan stor penyimpanan mercun.

"Ia kejadian kali pertama yang mana turut merosakkan harta benda penduduk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lata, di sini, hari ini.

Kampung Bukit Lata adalah penempatan yang paling dekat dengan pekan Mundok, Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Che Wan 62, berkata, akibat letupan itu, dia tersungkur ke tanah kerana ketika kejadian dia berada di tebing sungai berdekatan perahu yang diletakkan di pangkalan berhampiran.

"Saya hanya mampu mengucap panjang dan berasa kosong seketika kerana terkejut dengan apa yang berlaku.

"Keluarga saya ramai di sebelah Mundok, saya segera menelefon mereka sebelum dimaklumkan kejadian sebenar.

"Alhamdulillah, semua ahli keluarga saya selamata tetapi saya dimaklumkan 11 penduduk ditemui meninggal dan sekurang-kurangnya lima mangsa belum ditemui kerana dihempap runtuhan bangunan," katanya

Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya sembilan dilaporkan mati, manakala puluhan lagi mangsa cedera selepas stor menyimpan bunga api dan mercun dekat Pasar Mundok di sebelah Thailand yang bersempadan dengan pekan ini, meletup pada 4.10 petang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 2:48 PM