Mohd Roji Kawi

Kuching: Sungai Sarawak kembali diterangi cahaya lampu berwarna warni yang menghiasi deretan kapal dan perahu tambang malam ini, selepas kali terakhir acara seumpamanya diadakan 10 tahun lalu.

Lokasi menarik di tebing Sungai Sarawak antaranya Tebingan Kuching, Pengkalan Sapi, jeti dan tebingan Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya menjadi tumpuan lebih 10,000 rakyat yang mahu menyaksikan acara penuh warni sempena sambutan 60 tahun Sarawak merdeka itu.

Acara dengan tema 'Sarawak Maju Makmur 2030' bermula pada jam 8.15 malam dengan ketibaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang dan seterusnya merasmikan Perarakan Kapal Berhias 2023 itu.

Perarakan didahului lapan penunggang jetski, serta bot Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) diikuti 25 perahu tambang, pengangkutan air tradisional yang menjadi ikon pelancongan di Sungai Sarawak.

Acara itu disusuli dengan tarikan utama iaitu perarakan 20 kapal berhias yang mewakili pelbagai kementerian, agensi dan syarikat swasta.

Ia didahului kapal berhias Jabatan Premier Sarawak, diikuti KementerianSumber Asli dan Pembangunan Bandar, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Kementerian Inftrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

20 kapal berhias menjadi daya tarikan pengunjung di Tebingan Kuching sempena Sambutan Hari Sarawak Merdeka. FOTO NADIM BOKHARI
20 kapal berhias menjadi daya tarikan pengunjung di Tebingan Kuching sempena Sambutan Hari Sarawak Merdeka. FOTO NADIM BOKHARI

Menyusul selepas itu kapal berhias Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan danKerajaan Tempatan, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar serta Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Turut serta dalam perarakan itu, kapal berhias Sarawak Energy Berhad, Bintulu Port Holdings Berhad, Samling Timber Malaysia, Shin Yang Group of Companies, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah.

Selain menyaksikan kapal yang dihias indah, orang ramai juga menyaksikan pertunjukan bunga api serta persembahan penyanyi terkemuka asal Sarawak, Dayang Nurfaizah dan Hafiz Suip serta beberapa artis tempatan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 10:04 PM