Muhamad Lokman Khairi

Manjung: Pegawai dan anggota polis di seluruh Perak diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan enam anggota yang ditahan atas kesalahan tatatertib sebelum ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ketamakan dan kerakusan anggota terbabit memburukkan imej serta integriti agensi penguatkuasaan berusia 216 tahun itu di mata masyarakat.

"Saya harap tuan-tuan dan puan-puan tidak lagi buat perkara yang sering diulang oleh rakan kita dahulu yang dikenakan tindakan disiplin, dibuang kerja, diturunkan pangkat disebabkan kesilapan, ketamakan dan kerakusan mereka sendiri yang melanggar integriti, disiplin dalam pasukan.

"Ingatlah tugas kita sebagai penguat kuasa undang-undang ini dituntut oleh Allah sebagai jihad.

"Semua pegawai dan anggota mestilah mengelakkan diri daripada sebarang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, menekankan aspek disiplin serta menjauhi perbuatan salah laku yang boleh mencemarkan imej pasukan," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah.

Mohd Yusri melakukan pemeriksaan perbarisan sempena lawatan kerja beliau ke IPD Manjung, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Mohd Yusri melakukan pemeriksaan perbarisan sempena lawatan kerja beliau ke IPD Manjung, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Mohd Yusri berkata, anggota polis mesti melaksanakan peranan di setiap bahagian termasuk operasi, siasatan, pentadbiran dan logistik dengan disiplin.

"Jangan jadi racun. Jangan jadi duri dalam daging. Jangan jadi nila yang boleh merosakkan prestasi, semangat kerja rakan lain yang bersemangat, bertungkus-lumus mahu menjalankan tugas dengan 100 peratus komitmen untuk menjalankan tugas dan mendapatkan pendapatan yang halal untuk menanggung anak, isteri dan keluarga," katanya.

Pada 11 Julai lalu, media melaporkan enam anggota polis dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Perak ditahan dalam serbuan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) ketika berhibur dengan seorang wanita warga asing di bilik karaoke sebuah pusat hiburan di Ipoh.

Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam itu, mendapati seorang anggota beragama Islam dikesan mengambil minuman keras, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja.

Difahamkan, pucuk pimpinan PDRM mengarahkan anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu ditukarkan ke cawangan baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 12:07 PM