Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Shah Alam: Industri perhotelan digesa menyepadukan teknologi lebih maju seperti kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan analisis data dalam operasi harian.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara ini perlu disesuaikan dengan perkhidmatan untuk keperluan tetamu mereka.

Beliau berkata, ia termasuklah proses ketika beratur atau memohon sesuatu dan mencipta pengalaman lancar yang meninggalkan kesan berkekalan kepada tetamu.

"Adalah penting buat kita untuk menangani isu-isu yang wujud dalam industri perhotelan ini lebih-lebih lagi ketika perjalanan antarabangsa telah pulih dengan pantas.

Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj (kiri) diiringi Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong (tengah) menyaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (dua dari kiri) menandatangani plak pengiktirafan Double Tree by Hilton Shah Alam sebagai Hotel bandar 5 bintang di Hotel Double Tree by Hilton, iCity Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

"Malah, dengan perubahan di dalam landskap pelancongan, di mana pelancong sudah tidak mahu dengan cara perjalanan lama yang perlu tergesa-gesa untuk ke tempat tarikan.

"Mereka sedang mencari pengalaman perjalanan yang lebih mendalam dan bermakna mengenai budaya, tarikan, khazanah ekologi dan masakan tempatan kita," katanya dalam satu majlis pelancaran hotel lima bintang di sini hari ini.

King Sing berkata, hotel bukan sekadar tempat untuk tidur, sebaliknya ia menyediakan keselesaan, kemudahan dan kemudahan bagi membolehkan pelancong berehat daripada kesibukan jadual harian mereka.

Selain itu katanya, tahap perkhidmatan juga membezakan hotel yang luar biasa, mewujudkan rasa kepuasan, membawa kepada ulasan dan cadangan yang positif.

"Hotel juga bertindak sebagai duta untuk negara dan bandar mereka, mempamerkan budaya serta tradisi tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 5:46 PM