Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Isu bil tarif elektrik yang ketika ini didakwa melambung tinggi adalah antara keluhan paling banyak disuarakan masyarakat di media sosial ketika ini.

Platform sembang sosial di Facebook (FB) menerusi akaun FB 'Bil Elektrik TNB melambung tinggi ke?' yang diwujudkan turut menjadi tempat warganet meluahkan ketidakpuasan hati kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Ada dalam kalangan pengguna menyifatkan kenaikan bil utiliti itu tidak logik berbanding penggunaan tenaga elektrik di rumah.

"Anda semua rasa logik ke tidak bil elektrik rumah ayah saya macam ini? Padahal beberapa bulan sebelumnya hanya RM100 sahaja. Kalau ia pun musim panas, penggunaan elektrik dan penyaman udara tetap sama. Yang duduk rumah pun ibu dan ayah sahaja. Kali ini memang tak logik, cecah sampai RM1,000. Jika nak anggar pun biarlah logik. Rumah teres setingkat biasa sahaja, bukannya rumah banglo tiga tingkat bil sampai macam ini?

"Orang meniaga kek yang guna ketuhar 24 jam pun tak melambung bil macam ini," kata Najihah Rokman.

Beliau turut melampirkan bil bulanannya iaitu bagi Disember 2022 (RM141.80), Januari 2023 (RM166.50), Februari 2023 (RM138.80), Mac 2023 (RM111.55), April 2023 (RM175.60) dan Mei 2023 (RM1,137.85).

Seorang lagi pengguna, Mk Mizi pula mempersoalkan maklum balas pegawai TNB yang terus-menerus membiarkannya menunggu jawapan berkaitan bil itu.

"Kepada TNB. Kenapa bil bulan Mei melambung begitu tinggi? Apabila saya buat aduan ditawarkan untuk pemeriksaan meter. Kakitangannya datang periksa kemudian beritahu meter OK.

"Saya juga sudah menghubungi TNB dan emel berkali-kali, jawapan tetap sama dalam masa terdekat pegawainya akan hubungi saya. Berapa lama harus saya tunggu? Sampai bila ?," katanya.

Ada juga komen berunsur gurauan antaranya"Boleh buat laporan polis ke pasal kes bil TNB tinggi ini? Mei punya bil macam tak logik. Penggunaan paling banyak RM170 maksimum. Mei punya bil ini cecah RM250 itu pun penghawa dingin guna sekejap. Orang lain ada cecah RM1,000. Naya betul."

Seorang pengguna lain dengan nama di akaunnya Bull Null pula katanya: "Tak boleh buat apa-apa. Kena diam dan terima dengan reda sahaja. Rakyat Malaysia kan semuanya T20. Apa nak dihairankan," katanya.

Terdahulu, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 4:08 PM