ONN Hafiz pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, hari ini.  FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar.
ONN Hafiz pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, hari ini. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar.
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri : Kerajaan negeri komited menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di dua pintu masuk negara di negeri ini iaitu Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) memandangkan isu itu memberi impak besar kepada ekonomi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setiap saat yang dibazirkan di Tambak Johor dan LinKedua akibat kesesakan itu memberi impak kepada ekonomi dari segi pelaburan, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan hartanah.

Malah, katanya, masalah kesesakan itu turut memberi kesan kepada 300,000 rakyat Malaysia yang menggunakan kedua-dua laluan itu hampir setiap hari.

"Saya sudah turun padang ke CIQ BSI sebanyak 60 kali (sejak tahun lalu) manakala, CIQ KSAB sebanyak 14 kali.

"Ia menjadi antara isu dan kekangan untuk pelabur dan pelancong masuk ke Johor. Jika perkara ini dapat diselesaikan secara konsisten, saya percaya ia akan memberi keyakinan kepada pelabur selain keselesaan sekali gus menggalak pelancong berkunjung ke Johor.

"Hasrat kerajaan negeri adalah demi memperluaskan limpahan ekonomi yang terjana supaya semua lapisan masyarakat di Johor dapat

merasainya," katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis daripada Ahli DUN Benut, Semarang, Stulang, Sri Medan, Parit Yaani dan Johor Jaya yang mengemukakan soalan mengenai perkembangan di CIQ BSI dan KSAB.

Onn Hafiz berkata, segala langkah penyelesaian yang sudah diambil dan dilaksanakan di dua CIQ itu bukanlah 'hangat-hangat tahi ayam' tetapi akan terus dilaksanakan, diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Saya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh akan terus turun ke lapangan sehingga isu ini selesai secara konsisten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 11:59 AM