HASIF Hijrah (duduk tengah) bersama keluarganya. FOTO Ihsan Hijrah Azahah
HASIF Hijrah (duduk tengah) bersama keluarganya. FOTO Ihsan Hijrah Azahah
Redzuan Muharam

Seremban: Status sebagai pelajar sekolah bukan halangan kepada Hasif Hijrah Azahah untuk bergelar usahawan.

Buktinya, Hasif Hijrah, 17, sudah mempunyai produk atas jenamanya sendiri iaitu kerepek rumpai laut yang mula dikeluarkan dua bulan lalu.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, sebelum mengeluarkan produk sendiri, dia giat mencari rezeki dengan mengambil upah sebagai ejen yang menjual bermacam jenis produk.

"Saya mula berniaga sejak tingkatan dua lagi dan pada awalnya jual baju tidur, hiasan bilik seperti lampu kemudian minyak wangi akhir tahun lalu.

"Mulanya saya berniaga sebab nak cari duit poket, lama-kelamaan jadi minat dan sampai sekarang masih jadi ejen minyak wangi.

"Cuma, itu pendapatan sampingan kerana kini giat promosi produk sendiri iaitu kerepek rumpai laut dan puas hati kerana keluarkannya dengan modal hasil simpanan sendiri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Hasif Hijrah, buat masa ini, dia mempromosikan produknya di TikTok dan sambutan amat baik, malah dia turut menerima tempahan pelanggan dari Singapura.

Bagaimanapun, Hasif Hijrah mengakui bukan mudah untuknya meyakinkan pelanggan pada awalnya kerana faktor usianya memandangkan ada yang menganggapnya terlalu muda.

Menurut Hasif Hijrah, memandangkan masih bersekolah, maka urusan pembungkusan tempahan akan dilakukan pada sebelah malam.

"Pagi saya ke sekolah, petang pula jalani sesi latihan bola sepak kerana itu memang minat saya daripada dulu.

"Jadi, hanya waktu malam saja waktu yang lapang untuk uruskan pembungkusan dan jika terlalu sibuk, saya akan minta bantuan rakan.

"Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar dan maklum balas pelanggan juga positif.

"Keluarga pun beri dorongan dan itu yang buat saya lebih bersemangat nak berniaga. Mana tidaknya, dulu selalu minta emak duit belanja tetapi sejak berniaga saya pula dapat belanja keluarga makan," katanya.

Meskipun sudah ada perniagaan sendiri, Hasif Hijrah berkata, dia enggan ketinggalan dalam membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyambung pengajian ke menara gading selepas tamat persekolahan.

"Jika ada peluang, saya mahu sambung pengajian peringkat diploma dalam jurusan perniagaan dan media sosial

"Pada masa sama, saya mahu kembangkan lagi perniagaan selain terus aktif dalam bola sepak di peringkat universiti," katanya yang pernah mengikuti latihan bersama Akademi Johor Darul Takzim (JDT) ketika berusia 13 hingga 15 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:43 PM