MUHAMMAD Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah. FOTO Syaharim Abidin.
MUHAMMAD Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah. FOTO Syaharim Abidin.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pas menegaskan tindakan mempertahan naratif sejarah Pulau Pinang adalah milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah, selain tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai perbuatan di bawah Akta Hasutan 1948.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputar belit, bahkan perkara itu mempunyai sokongan kajian yang kukuh.

"Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

"Kerajaan Negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.

"Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Sidang Dewan Rakyat mengesahkan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat kini disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan susulan tindakannya mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Ahmad Yahaya yang juga Ketua Dewan Ulama Pas Pusat berkata, Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu berkenaan tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah atau hubungan Kedah dan Siam.

"Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara. Oleh itu, Pas Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah.

"Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Muhammad Sanusi. Mereka lebih berminat menjatuhkan Menteri Besar Kedah berbanding berbahas soal sejarah," katanya.

Pasukan penyiasat polis Bukit Aman dijangka mengambil keterangan Muhammad Sanusi di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 9:49 AM