SABUDIN sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja. FOTO Fathil Asri
SABUDIN sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja. FOTO Fathil Asri
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pendakwaan menegaskan hakim Mahkamah Sesyen keliru dengan dua tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja yang dihadapi bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Shaharuddin Wan Ladin berkata, hakim perbicaraan kemudian menyalahkan pendakwaan (perayu) kerana gagal menunjukkan terdapat keperluan bagi Sabudin (responden) untuk meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan iaitu subkontraktor kepada syarikat Dusari Niaga.

Katanya, hakim bicara melakukan kesilapan yang besar dan tersalah arah apabila gagal menimbangkan keterangan yang tidak memihak kepada Sabudin dengan memutuskan dia memberikan keterangan yang jujur.

Menurutnya, mahkamah itu juga gagal menimbangkan keterangan saksi utama pendakwaan yang didapati meragukan.

Sehubungan itu, Wan Shaharuddin memohon Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan supaya perintah Mahkamah Sesyen yang membebaskan Sabudin diketepikan serta dia disabitkan dengan kedua-dua tuduhan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam hujahan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September tahun lalu yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah, di akhir kes pembelaan.

Sabudin diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac tahun lalu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, yang membebaskannya daripada dua tuduhan itu, di akhir kes pendakwaan.

Bagi kedua-dua tuduhan, dia yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan RM200,000 daripada May Kuan, yang melaksanakan "Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)" sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, di Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini, dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam bela K Theivaendran yang mewakili Sabudin dalam hujahannya, berkata hakim Mahkamah Sesyen sudah membuat dapatan yang betul ketika membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi.

Sehubungan itu, beliau memohon rayuan pendakwaan dengan ini ditolak.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy kemudian menetapkan pada 25 Julai ini bagi keputusan rayuan pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 4:01 PM