Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan memohon supaya empat kes menggunakan kedudukan dan tiga kes menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika kesemua kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.

Menurut Wan Shaharuddin, pendakwaan sudah memfailkan permohonan supaya tujuh kes itu dibicarakan bersama semalam dan permohonan itu diserahkan kepada pasukan pembelaan hari ini.

Peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin kemudian mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan pada atau sebelum 30 Jun ini bagi pembelaan menjawab permohonan itu dan turut menetapkan 14 Julai ini bagi pendakwaan membalasnya.

Sementara itu, Wan Shaharuddin turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan separuh daripada dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan hari ini dan perkara itu disahkan Hisyam.

Wan Shaharuddin berkata, pihaknya memohon tarikh sebutan yang lama untuk menyerahkan baki dokumen kerana pembelaan memfailkan banyak permohonan di Mahkamah Tinggi iaitu tiga permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi manakala satu permohonan untuk membatalkan tuduhan.

Azura kemudian menetapkan pada 4 Ogos ini bagi pihak pendakwaan menyerahkan baki dokumen dan memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Tinggi.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 76, mengaku tidak bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk suatu suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Pada 13 Mac lalu pula, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta di AmBank cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya dekat sini, pada 7 Jan 2022.

Pada 18 April lalu, Muhyiddin memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan dan pada 27 April lalu, permohonan untuk memindahkan kesemua kesnya ke Mahkamah Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 1:00 PM