Chow Kon Yeow umum Pulau Pinang  menyalurkan RM500,000 bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.
Chow Kon Yeow umum Pulau Pinang menyalurkan RM500,000 bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim.
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Kerajaan Pulau Pinang menyalurkan RM500,000 bagi menampung kos berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan Gunung Everest, sejak Jumaat lalu.

Ia diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang meluangkan sedikit masa ketika melawat keluarga pendaki berkenaan di Kampung Permatang Kerai Besar di Kepala Batas, malam tadi.

Kon Yeow berkata, sumbangan itu diputuskan melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang sebulat suara bersetuju dalam meringankan beban kos SAR Muhammad Hawari.

"Mesyuarat Exco memutuskan untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 atau RM0.5 juta yang akan disalurkan kepada kelab berwajib sebagai perbelanjaan pengurusan SAR ini.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan terus mengikuti perkembangan SAR Muhammad Hawari yang juga kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP) secara dekat dan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya.

Dalam lawatan malam tadi, Kon Yeow diiringi Pengarah LMNPP, Haryany Mohamad.

Ketika lawatan itu, Kon Yeow juga menjelaskan kepada keluarga Muhammad Hawari mengenai inti sesi telesidang pada Selasa bersama-sama Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak mengenai operasi SAR Muhammad Hawari yang ditetapkan sehingga Ahad ini.

"Kita serahkan kepada pasukan SAR untuk melakukan SAR di sana, Haryany akan menjadi wakil penghubung dengan pihak SAR dan kelab (berwajib) di sana," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan khas daripada beliau sendiri kepada isteri Muhammad Hawari Hashim, iaitu Safiyyah Tang Xie Li.

Muhammad Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.

Mangsa adalah ahli kumpulan sama yang menyertai Malaysia Everest 2023 (ME 2023), bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia pada ketinggian 8,000 meter di gunung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 10:09 AM