GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Jabatan Pendidikan Johor (JPNJ) menerima penambahan 996 guru di beberapa sekolah terpilih di seluruh negeri ini, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata, penempatan guru itu membabitkan 596 guru sekolah rendah dan 403 guru sekolah menengah.

"Berdasarkan jumlah guru yang berada di negeri ini, Alhamdulillah ia tidak begitu membimbangkan.

"Melihatkan keperluan semua ketika ini, bilangan guru di negeri ini tidak menjadi masalah besar," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, di sini hari ini.

Berdasarkan rekod JPNJ, dianggarkan seramai 48,137 guru mengajar di 1,192 sekolah di negeri ini.

Ia membabitkan seramai 26,910 guru di 908 buah sekolah rendah dan 21,227 guru di 284 buah sekolah menengah di negeri ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, isu kekurangan guru terutama dalam mata pelajaran kritikal bakal ditangani secara serius bermula tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:12 PM