Nor Amalina Alias


Bachok: Sambutan rumah terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok meriah dengan hiasan pengantin seperti majlis perkahwinan, malam tadi.

Lari daripada dekorasi ketupat, lemang atau pelita, IPD Bachok sebaliknya menghias enam gerai makanan dengan 'mengangkut' pelamin, pintu gerbang dan hiasan bunga-bungaan seperti majlis perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, hiasan pelamin disewa daripada perunding perkahwinan dan ada dibuat sendiri pegawai dan anggota polis.

"Kami mengambil masa dua hari untuk menyiapkan hiasan ala perkahwinan ini.

"Tema dekorasi ini juga dibuat kelainan untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri selain meraikan anggota dan pegawai serta ahli keluarga dengan konsep warna-warni di Aidilfitri," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya IPD Bachok, malam tadi.

KETUA Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun (tengah) duduk di pelamin yang menjadi kelainan dekorasi sambutan rumah terbuka IPD Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
KETUA Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun (tengah) duduk di pelamin yang menjadi kelainan dekorasi sambutan rumah terbuka IPD Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Gerai dihias warga IPD Bachok daripada Bahagian Logistik dan Teknologi; Balai Polis Jelawat; Bahagian Pengurusan dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard; Balai Polis Tawang dan Narkotik; Cawangan Khas serta Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) dan Balai Polis Gunong.

Mohamad berkata, seramai 200 pegawai, anggota dan keluarga polis hadir ke majlis.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohamad Zaki Harun dan isteri, Datin Suzana Yashin yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan.

Mohamad berkata, selain pemberian duit raya kepada anak-anak polis, IPD Bachok turut menyampaikan sumbangan bekalan makanan asas kepada satu keluarga miskin di Bachok.

Pasangan, Mohamad Ismail Hamid, 39, yang juga orang kurang upaya (OKU) pertuturan dan isteri, Zilawati Abdullah, 37 serta tiga anak menerima bantuan seperti makanan dan keperluan sekolah.

Sementara itu, Zaki berkata, dia teruja melihat kreativiti warga IPD Bachok yang menghias gerai dengan begitu menarik.

Katanya, usaha dan kesungguhan itu menunjukkan sifat kekeluargaan warga polis dalam melaksanakan tugas bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 11:41 AM