Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kota Bharu: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menjadi pemangkin dan pencetus kepada pembangunan bagi negeri yang dianggap terpisah daripada perkembangan pesat di Lembah Klang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata projek ECRL adalah projek yang besar dan dianggap raksasa.

"Justeru, kerajaan negeri harus bersama-sama untuk memanfaatkan kemudahan pengangkutan yang ada selain mencari kaedah baru bagi mencetuskan pelaburan baru.

"Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang mengikuti perkembangan kemajuan projek ECRL dan Kelantan mencatatkan rekod yang baik kerana memberi kerjasama dan proses pengambilan tanah yang cepat," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Stesen Pertama ECRL di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dalam tempoh dua hingga tiga tahun sebelum projek ECRL siap, perlu ada perancangan teliti untuk memastikan ada corak perubahan ketara di Pantai Timur khususnya Kelantan.

"Oleh itu, tindakan segera lebih agresif untuk menarik pelabur dengan menjamin insentif baru serta proses kelulusan yang lebih cepat.

"Antara hal yang diutarakan oleh ECRL pada awalnya dan pelabur yang kita berunding ialah mereka mahu melabur dan insentif pun ada, namun kelulusan yang lambat menjadi masalah.

"Saya percaya jika kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menjalin hubungan lebih akrab, ia akan memudahkan projek yang memberi manfaat kepada negeri termasuk Kelantan," katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, projek ECRL menyaksikan lebih 2,100 syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal sejak 2017 hingga kini.

"Ada andaian mengatakan projek ini dimonopoli sepenuhnya oleh China, ia tidak benar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 5:29 PM