Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan jenayah penggubahan wang haram termasuk unit saham bernilai RM753,220, hasil daripada aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Md Nawi Ab Aziz, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga ketiga, tertuduh didakwa memperoleh wang berjumlah RM239,260 hasil daripada aktiviti haram dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pasir Mas antara 29 April 2017 hingga 3 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh didakwa memperoleh unit amanah saham berjumlah 104,000 unit hasil aktiviti haram dalam akaun amanah saham Permodalan Nasional Berhad miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di PNB cawangan Kota Bharu antara 24 Julai 2017 hingga 23 September 2019.

Sementara itu, pertuduhan kelima hingga kelapan, tertuduh didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM409,960 yang dimasukkan mulai 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019 ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pasir Mas.

Untuk kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum dibawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan juga denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal dan tertuduh diwakili peguam, Nor Erini Mustapha.

Terdahulu, Rohaiza memohon jaminan tinggi dikenakan iaitu RM160,000 memandangkan kes dilakukan tertuduh adalah serius.

Nor Erini pula memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan tertuduh memberi kerjasama penuh selain sudah berusia.

Katanya, tertuduh juga seorang pesara kerajaan dengan pendapatan bulanan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain perlu menjaga isteri dan harta anak guamnya sudah disita.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM70,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes.

Md. Nawi Ab. Aziz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Md. Nawi Ab. Aziz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 1:02 PM