MOHAMAD Razdan bercakap pada sidang media selepas selamat tiba di Malaysia. FOTO Bernama
MOHAMAD Razdan bercakap pada sidang media selepas selamat tiba di Malaysia. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Putrajaya: "Tanpa pasukan (kedutaan) saya, kita tidak dapat melakukannya (menyelamatkan rakyat Malaysia), saya berterima kasih kepada mereka yang melakukan penilaian yang baik dan membolehkan keputusan diambil.

"Itu adalah perkara yang tidak boleh dilupakan setibanya saya di Malaysia...sepanjang empat tahun tujuh bulan bertugas di Sudan, saya melalui tiga konflik dan ini yang terburuk," kata Duta Besar Malaysia ke Sudan Mohamad Razdan Jamil berkongsi pengalamannya menyelamatkan 30 rakyat Malaysia dari konflik di Sudan.

Mohamad Razdan berkata, sepanjang konflik di negara itu, beliau banyak dibantu oleh pegawai kedutaan di sana dalam melakukan penilaian dan keputusan ketika melakukan misi menyelamat.

Beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Sudan juga berkongsi eksesais bersama rakyat Malaysia jika kemungkinan berhadapan dengan Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF)

"Jika berhadapan dengan mereka, kita sudah beritahu, kita perlu bertenang dan angkat tangan.

"Setiap arahan diberikan, mereka (rakyat Malaysia) memberikan kerjasama yang baik serta tidak membantah...ini memudahkan lagi urusan dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas selamat tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Di Sudan, pertempuran berlarutan membabitkan SAF dan RSF sekitar sejak 15 April lalu mencetuskan pergolakan politik serta menggugat keselamatan menyebabkan beberapa tindakan perlu diambil Kedutaan Malaysia di sana.

Menurut Mohamad Razdan, risiko terbesar dihadapi rakyat Malaysia di Sudan adalah terpaksa menempuh perjalanan selama 30 jam dari Khartoum ke Port Sudan untuk ke Jeddah.

"Kumpulan rakyat Malaysia itu terpaksa menempuh perjalanan yang begitu jauh dalam keadaan negara yang diletakkan dalam perintah berkurung.

"Ada ketikanya tayar kenderaan pecah menyebabkan mereka terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.

"Tempoh perjalanan yang agak lama adalah risiko terbesar dihadapi. Namun, alhamdulillah mereka semua selamat biarpun nampak keletihan," katanya.

Untuk rekod, Kompleks Petronas di Sudan diambil alih secara paksa oleh pasukan separa tentera dan dijadikan pusat pemerhatian mereka.

Kompleks itu berada tidak jauh daripada Kementerian Pertahanan Sudan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 6:21 PM