BERNAMA

Kuala Lumpur: Kakitangan Institut Integriti Malaysia (IIM) diarah bekerja dari rumah susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan institut itu tengah hari semalam.

Kenyataan IIM malam tadi memaklumkan arahan itu dibuat atas faktor keselamatan dan berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"IIM sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa dalam kerja-kerja pemantauan di kawasan terbabit.

"Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang IIM (www.iim.gov.my) dan media-media sosial IIM untuk maklumat terkini," menurut kenyataan itu.

Ketika kejadian pada 1.30 tengah hari semalam, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang juga petugas pentadbiran MACA dan IIM, yang terletak bersebelahan akademi itu, berdepan detik cemas selepas berlaku runtuhan tanah di kawasan itu, namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu membabitkan kawasan di depan pintu akademi milik SPRM dan meruntuhkan sebuah pondok kawalan dengan keluasan tanah runtuh dianggarkan 30.48 x 36.57 meter persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 7:52 AM