Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun dipercayai hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang, Kuching, malam ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun dipercayai hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang, Kuching, malam ini. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Kanak-kanak autisme berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Bunga Rampai, Jalan Batu Kitang di sini, semalam, ditemukan lemas, hari ini.

Mayat Andrine Johnnes ak Anne ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dalam sungai kampung terbabit pada 12.15 tengah hari.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada mulanya, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba melihat satu objek tenggelam timbul di sungai terbabit.

"Apabila dihampiri objek terbabit disahkan mayat kanak-kanak berkenaan yang masih berpakaian.

"Keluarga mangsa dipanggil bagi membuat pengecaman mayat di Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat kemudian dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

"Dengan penemuan mayat berkenaan, operasi SAR ditamatkan pada 1 tengah hari," katanya.

Difahamkan, mangsa yang selama ini tidak dibenarkan keluar dari rumah berkemungkinan keluar melalui pintu belakang yang menghadap kawasan hutan berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 5:18 PM