PELAJAR Uitm Shah Alam yang dihantar pulang ke negeri masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada Majlis Flagoff Jom Balik Raya kerjasama NGO dan Uitm Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
PELAJAR Uitm Shah Alam yang dihantar pulang ke negeri masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada Majlis Flagoff Jom Balik Raya kerjasama NGO dan Uitm Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Lebih 300 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menikmati tiket bas Rahmah melalui program Jom Balik Raya anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu sempena Aidilfitri.

Program itu menyediakan perkhidmatan bas dengan harga yang berpatutan bagi kepada mahasiswa untuk pulang ke kampung sekali gus mengatasi masalah harga tiket bas mahal.

Pengarah Program merangkap Exco Kemudahan dan Pengangkutan MPP UiTM Shah Alam, Nurul Asyikin Mohamad Adrus, 24, berkata inisiatif memfokuskan pelajar kumpulan B40 yang memerlukan harga tiket lebih murah untuk pulang ke kampung.

"Sebanyak sembilan bas disediakan untuk membawa pulang 308 pelajar ke destinasi seperti Pahang, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

"Tahun ini kita berpeluang menggunakan perkhidmatan bas UiTM sendiri maka harga tiket jauh lebih murah berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui di majlis perasmian program di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengarah Pembangunan Pelajar UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Shahsuzan Zakaria dan turut dihadiri Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam, Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim.

Sementara itu, pelajar Diploma Muzik, Ardiana Nabila Azlan, 20, berkata program inisiatif MPP itu memberikan kelegaan selepas tiket bas untuk balik kampung sempena hari raya sudah habis.

"Saya gembira dengan harga yang diberikan oleh UiTM jauh lebih murah dan mampu dibeli untuk semua pelajar.

"Kebiasaannya saya belanjakan kira-kira RM50 untuk tiket pulang ke Johor dan harga tiket diberikan UiTM melalui program ini RM35. Amat berbaloi," katanya.

Ardiana berharap program berkenaan dapat diteruskan kerana banyak membantu pelajar dari segi kos tambang balik kampung pada musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 2:12 PM