GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan berkenaan sebuah pasar raya di sini menjual ayam segar secara pembungkusan yang tidak disembelih mengikut syarak sekali gus didakwa sebagai tidak halal.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, siasatan bakal dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk biarpun tidak menerima aduan secara rasmi sebaliknya hanya berdasarkan dakwaan di media sosial.

"Insya-Allah kita akan siasat. Ya benar, JAIPk akan tetap menyiasatnya (walaupun hanya berdasarkan dakwaan di media sosial tanpa aduan rasmi)," katanya ketika dihubungi melalui WhatsaApp di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pengguna Facebook (FB) menggunakan akaun bernama Fathin Elida yang memuat naik hantaran di kumpulan FB 'Anak Kuala Kangsar' mengenai isu terbabit, semalam.

Berdasarkan hantaran yang disertakan dengan gambar ayam segar dibungkus itu, Fathin meminta pengguna FB yang lain membincangkan mengenai tindakan pekerja pasar raya terbabit yang sering berdalih apabila diminta memberikan bersama kepala ayam segar sewaktu ia dibeli.

Ayam segar berkenaan digambarkan oleh Fathin sebagai tidak disembelih mengikut syarak sekali gus ia tidak halal dimakan apabila terdapat kesan tebukan atau cucukan pada lehernya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 7:57 AM