KLIA (gambar fail). FOTO Bloomberg
KLIA (gambar fail). FOTO Bloomberg
Irwan Shafrizan Ismail


Sepang: Kerajaan berhasrat mengembalikan ranking Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kedudukan 10 terbaik di dunia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau kecewa dengan kedudukan ranking KLIA yang jatuh ke kedudukan 67 dikeluarkan Skytrax tahun ini.

Justeru katanya, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu melaksanakan beberapa penambahbaikan supaya KLIA mampu menjadi kebanggaan negara sekali gus berada dalam senarai 10 lapangan terbang terbaik di dunia

"MAHB perlu menambah baik Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain yang kini masih dihentikan buat sementara waktu. Selain itu, sistem bagasi juga antara yang menjadi rungutan penumpang, sistem yang sekarang sudah usang.

"Kita kena faham 25 tahun yang lalu pergerakan penumpang tidak sama dengan sekarang. Semakin tahun semakin meningkat jumlah penumpang, jadi sistem yang ada perlu mampu menampung pergerakan penumpang hari ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Plaza Premium Lounge di KLIA di sini hari ini.

Selain itu, Loke berkata, faktor lain yang perlu ditambah baik adalah aspek persekitaran lapangan terbang yang memberi keselesaan kepada penumpang termasuk menaik taraf kemudahan lain.

"Aspek penyelenggaraan, kemudahan membeli belah kepada pelanggan supaya mereka dapat alami pengalaman yang menyelesakan, ini juga antara faktor lain yang penting perlu ditumpukan bagi menjadikan KLIA lapangan terbang yang hebat dan baik," tambah beliau.

Beliau berkata, cabaran untuk memastikan KLIA mampu menjadi antara lapangan terbang terbaik di dunia adalah tanggungjawab yang perlu digalas bersama oleh semua pihak termasuklah Kementerian Pengangkutan.

"Bagi saya cabaran yang kita perlu hadapi bersama adalah untuk menaikkan semula ranking KLIA," katanya.

Baru-baru ini dilaporkan, KLIA jatuh lima anak tangga dalam senarai 100 Lapangan Terbang Terbaik Dunia yang dikeluarkan Skytrax bagi 2023.

Pintu masuk antarabangsa utama negara yang terletak di Sepang, Selangor itu kini menduduki ranking ke-67 berbanding tempat ke-62 tahun sebelumnya.

Sementara itu, Lapangan Terbang Changi Singapura mengungguli kedudukan teratas, naik dua anak tangga berbanding tempat ketiga tahun lalu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda (Tokyo) pula masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam senarai dikeluarkan Skytrax.

Rekod terbaik dipegang KLIA adalah kedudukan kedua lapangan terbang terbaik dunia pada 2001, sebelum jatuh ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan 44 pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 6:11 PM