PENIAGA menjalankan perniagaan seperti biasa. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
PENIAGA menjalankan perniagaan seperti biasa. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: 'Syurga' barang tiruan di Jalan Petaling, di sini, didapati terus beroperasi seperti biasa walaupun baru saja digempur besar-besaran oleh pihak berkuasa, Isnin lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati pelbagai barangan cetak rompak dari jenama terkemuka dipamerkan secara terbuka termasuk kasut, beg tangan wanita, dompet, minyak wangi dan pelbagai jenis pakaian.

Papan tanda amaran larangan menjual barangan cetak rompak yang dipasang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di lokasi tidak mampu untuk menakutkan peniaga barang tiruan terbabit.

Sekali imbas, barangan cetak rompak berkenaan tidak ubah seperti produk tulen maka tidak hairanlah jika Jalan Petaling atau lebih dikenali Petaling Street menjadi tumpuan orang ramai khususnya pelancong asing.

Menurut seorang pekerja warga asing yang ditemui, kebanyakan barangan cetak rompak berkenaan dibawa masuk dari China dan negara jiran serta dijual pada harga jauh lebih murah daripada produk tulen.

Kebanyakan pekerja asing yang mengendalikan premis di sini mampu berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris dan mereka cukup mahir dalam tawar-menawar bagi memikat pelanggan tempatan dan asing.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, lubuk barangan tiruan itu digempur menerusi operasi khas bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Seramai 44 warga asing yang bekerja di pelbagai premis di Jalan Petaling ditahan dalam operasi bersepadu itu.

Sebelum ini Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) dalam Kajian Semula Pasaran Terkenal 2022 menamakan Petaling Street atau Jalan Petaling sebagai antara kawasan terkenal menjual barangan tiruan dan cetak rompak.

Selain Jalan Petaling, 33 kawasan dan 39 pasaran dalam talian di 18 negara lain disenaraikan antara wilayah yang terbabit aktif dalam aktiviti cetak rompak dan tiruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 6:17 PM