GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 120 Pencawang Elektrik (PE) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terjejas banjir di seluruh negeri Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pencawang yang terjejas antaranya di daerah Segamat, Kluang, Muar, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

Katanya TNB perlu memutuskan bekalan elektrik di PE ini bagi tujuan keselamatan bukan sahaja pengguna malah sebagai langkah memelihara aset mereka bagi mengelakkan bencana yang lebih besar daripada berlaku.

"Banjir yang sedang melanda sebahagian besar negeri Johor kali ini bukan sahaja merosakkan harta benda orang awam, malah turut menjejaskan bekalan elektrik di sesetengah kawasan.

"Alhamdulillah, setakat hari ini, bekalan elektrik di 70 PE disambung semula, manakala 50 PE lagi masih belum menerima bekalan sepenuhnya.

"Antara kawasan yang masih belum menerima bekalan elektrik adalah di beberapa kawasan dalam Caah, Bukit Kepong, Yong Peng, Parit Sulong, Kluang, Endau, Ayer Hitam, Tongkang Pechah, Bukit Siput dan Kota Tinggi. Diharapkan semua pihak yang terbabit dapat bersabar dan sebarang kesulitan amat dikesali," katanya dalam hantaran di Facebook di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Fazli, anggota kerja TNB serta kontraktor yang terbabit bekerja keras bagi memulihkan semula bekalan elektrik, khususnya kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan premis-premis penting seperti klinik dan hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 5:16 PM