Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak sedang mengkaji sistem kawalan banjir yang dilaksanakan di Belanda dan Singapura untuk diadaptasi bagi mengatasi masalah itu yang kerap melanda kawasan rendah di negeri ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, Belanda sebuah negara yang berkedudukan di bawah paras laut, namun sistem yang dilaksanakan berkesan mengatasi masalah banjir.

Menurutnya, satu pasukan kejuruteraan diketuai Timbalan Premier, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sudah mengadakan lawatan ke negara berkenaan, baru-baru ini bagi meneliti sistem berkenaan.

"Jika Belanda yang berada di bawah paras laut dapat mengatasi masalah banjir, bermakna sistem mereka bagus.

"Sebab itu, kita menghantar pasukan ke sana untuk meneliti jika sistem itu dapat kita gunakan di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Seramai 80 mangsa banjir daripada 19 keluarga dari Kampung Rantau Panjang, Batu Kawa ditempatkan di PPS berkenaan selepas kediaman mereka dilanda banjir pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, penelitian turut dibuat terhadap sistem saliran di Singapura yang juga berkesan mengatasi masalah banjir di negara berkenaan.

"Kita lihat Singapura sebuah negara pulau dan berada di kawasan rendah, namun mereka tidak menghadapi masalah banjir. Ini disebabkan sistem perparitan di negara itu begitu berkesan," katanya.

Katanya, selepas hasil kajian di dua negara itu diperolehi, pihaknya berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi melaksanakan projek yang memerlukan kos yang tinggi.

"Model sistem perparitan yang kita ambil dari Belanda dan Singapura itu harus dilaksanakan kerana kita sudah terlalu lama menghadapi masalah banjir yang berlaku setiap tahun.

"Projek itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kos dijangka mencecah berbilion ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 4:40 PM