GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Dendam dan cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki dipukul sehingga maut oleh sekumpulan individu dalam kejadian di sebuah kondominium di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada adik perempuan mangsa berusia 26 tahun jam 5.29 petang, semalam.

"Menurut pengadu yang bekerja sebagai penghantar barang, dia menerima panggilan daripada rakannya dipercayai teman wanita mangsa jam 7.15 pagi, semalam.

"Wanita itu memaklumkan bahawa suspek utama bersama beberapa individu lain membawa abangnya (mangsa) keluar dari rumah sewanya di kondominium terbabit.

"Difahamkan teman wanita mangsa memberitahu lelaki itu dipukul oleh suspek semasa berada di kondominium berkenaan sebelum dibawa keluar dari rumah sewa terbabit ke lokasi yang tidak diketahui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, teman wanita mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek utama memaklumkan lelaki berusia 31 tahun itu berada di wad kecemasan Hospital Cyberjaya.

"Sebaik tiba di Hospital Cyberjaya, pengadu dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa abangnya meninggal dunia akibat kecederaan yang teruk.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua mata mangsa bengkak dan lebam selain terdapat luka di bahagian hidung serta pendarahan di kedua-dua telinganya.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan dilakukan mendapati punca kematian mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori disebabkan kecederaan akibat objek tumpul.

"Motif kejadian itu pula dipercayai kerana dendam serta cemburu suspek utama yang juga rakan mangsa terhadap lelaki berkenaan.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan lima suspek lelaki yang sudah dikenal pasti dan masih bebas sedang giat dijalankan," katanya.

Katanya, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung kes itu yang boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 11:19 PM