MUSTAPHA pada sidang media selepas Majlis Penyempaikan Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022. FOTO Faiz Anuar
MUSTAPHA pada sidang media selepas Majlis Penyempaikan Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 388 pekerja maut dan 21,767 orang cedera direkodkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sewaktu bekerja tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, pencapaian kadar kecederaan pekerjaan tahun lalu adalah 1.44 bagi setiap 1,000 pekerja berbanding sasaran tidak melebihi 2.42 untuk setiap 1,000 pekerja.

Katanya, pencapaian kadar kecederaan maut pekerjaan tahun lalu sebanyak 2.58 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding sasaran tidak melebihi 3.38 untuk setiap 100,000 pekerja.

"Pencapaian 105 peratus pelaporan kes penyakit dan keracunan pekerjaan direkodkan tahun lalu iaitu sebanyak 10,707 kes berbanding sasaran 10,201 kes.

"Sasaran 81 peratus daripada tempat kerja yang diaudit oleh JKKP memperoleh tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang memuaskan (gred C ke atas) pada tahun lalu berjaya dicapai," katanya pada sidang media di Majlis Penyampaian Pingat Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam usaha menangani isu terbabit, beliau berkata, JKKP mengambil beberapa inisiatif termasuk pelaksanaan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP25) untuk meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan negara.

Menurutnya, selain itu, meningkatkan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menerusi pemeriksaan tempat kerja dan tindakan punitif bagi majikan yang gagal mematuhi kehendak perundangan.

"Membuat pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk peningkatan kadar penalti kepada RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya bagi ketidakpatuhan," katanya.

Mengulas mengenai Pertandingan Kemahiran Worldskills Malaysia 2022, Mustapha berkata, pertandingan kemahiran adalah salah satu platform untuk menguji dan mengangkat tahap kekompetenan peserta yang terdiri daripada pelajar serta tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 4:42 PM