AZALINA Othman Said. FOTO Bernama
AZALINA Othman Said. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kira-kira RM31 juta dibelanjakan kerajaan bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara menghadapi tuntutan yang difailkan kumpulan Sulu terhadap Malaysia bermula 20 November 2019 hingga 20 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan jumlah tersebut melibatkan kos perkhidmatan peguam antarabangsa, prosiding mahkamah, terjemahan, penyelidikan sejarah dan perundangan.

"Secara khususnya fi guaman dan bayaran sahaja sebanyak RM36,000 (2019), RM167,000 (2020), RM8.2 juta (2021), RM13.5 juta (2022) dan RM5.4 juta (2023) bagi pengendalian kes mahkamah di empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda," katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kos guaman yang terlibat dalam tuntutan kumpulan Sulu terhadap Malaysia.

Selain itu, Azalina memaklumkan keputusan permohonan rayuan kerajaan Malaysia terhadap Perintah Mahkamah Perancis bertarikh 29 September 2022 dijangka dikeluarkan pada Jun ini dengan pendengaran permohonan rayuan itu telah berlangsung pada 6 Feb lepas di Mahkamah Rayuan Perancis.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada 28 Feb 2022, penimbang tara Dr Gonzalo Stampa dilapor telah memberikan final award kepada penuntut sebanyak AS$14.92 bilion (RM65.71 bilion).

Bagaimanapun, Mahkamah Perancis telah menangguhkan penguatkuasaan final award yang diberikan Stampa sementara menunggu keputusan mahkamah berhubung segala tindakan perundangan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 5:40 PM