GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang: Peniaga makanan ditahan kerana disyaki menumbuk muka seorang lelaki warga asing gara-gara mangsa dikatakan membuat bising di sebuah padang di Pandan Mewah, di sini, 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah apartment di sini, kelmarin.

"Kejadian berlaku pada 7.30 malam ketika semasa pengadu berada di padang, yang mana pengadu bersama anak buah sedang bersembang dengan seorang peniaga di situ.

"Tiba-tiba telah datang seorang lelaki yang dikenali sebagai Amirul (suspek) dan menumbuk muka pengadu mengakibatkan kecederaan pada rahang pengadu.

"Siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana pengadu membuat bising semasa memarahi anak buahnya berhampiran gerai suspek dengan suara kuat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, suspek bertindak menumbuk dan menendang mangsa sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan kecederaan.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif.

"Suspek direman selama empat hari bermula 12 Februari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

"Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam apa sahaja perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 4:48 PM