Izad Thaqif Hassan


Gurun: Mahu beli roti canai dalam ladang. Itu alasan tidak masuk akal serta lucu yang diberikan seorang lelaki warga emas ketika ditahan polis dalam serbuan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Batu Lima, di sini semalam.

Dalam Op Tapis Khas bermula jam 8 pagi itu, lelaki terbabit yang berbaju Melayu kuning, berkain pelikat serta memakai kasut sukan pada mulanya dilihat menunggang motosikal sebelum berhenti di lokasi yang menjadi 'port' penagih mendapatkan bekalan dadah untuk melepaskan gian.

Dia ketika itu langsung tidak menyedari kehadiran sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sudah mengepung kawasan berkenaan.

Sebaik mematikan enjin motosikal, anggota polis terus menahannya dan ketika disoal lelaki berkenaan dengan spontan mendakwa dia kononnya dalam perjalanan mahu membeli roti canai sedangkan lokasi ladang terletak jauh dari jalan utama dan kedai.

Dia yang tinggal di kampung berhampiran menyangka helah serta alasan diberikan dapat menyelamatkannya daripada ditahan, namun cubaan itu gagal meraih simpati anggota polis yang sudah mengetahui taktiknya kerana lokasi terbabit sebenarnya adalah port penagih membeli serta menghisap dadah.

Malah, sebaik mengetahui dia ditahan, isteri serta anak perempuannya turut hadir dan menunggu lelaki terbabit di luar ladang kelapa sawit itu dan mereka tiga beranak sempat berpelukan sebelum dia dibawa ke lokap IPD menaiki trak polis.

Ketika itu, isteri serta anaknya dilihat menangis sambil bersalaman meminta maaf namun lelaki terbabit masih tenang serta sempat berpesan kepada mereka supaya tidak bersedih.

Selain lelaki berkenan, ada juga penagih lain yang memberi alasan mahu mencari isteri, rakan serta ada yang mendakwa mereka kononnya tersesat jalan.

Malah, seorang daripada penagih yang ditahan memberitahu sengaja masuk ke 'port' terbabit untuk memantau serta menasihati rakan supaya menjauhi dan tidak menghisap dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ladang di Kampung Batu Lima pula baru wujud dan penagih serta pengedar menjadikan kawasan terbabit sebagai port baru untuk mengaburi mata polis.

"Pengedar serta penagih memilih lokasi berkenaan kerana ia terletak agak jauh dari kawasan serta rumah penduduk kampung dan kita juga baru pertama kali melakukan serbuan di kawasan terbabit.

PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.
PENAGIH yang dicekup dalam Op Tapis Khas dalam ladang kelapa sawit Kampung Batu Lima dan ECPI, di sini semalam. FOTO Izad Thaqif Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 9:30 PM