PERKHIDMATAN tren elektrik (ETS). FOTO Arkib NSTP
PERKHIDMATAN tren elektrik (ETS). FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan tiket tren tambahan itu akan mula dijual esok bagi perjalanan pada 19 hingga 24 Januari depan.

"Perkhidmatan ETS tambahan ini akan berlepas dari KL Sentral pada 5.05 petang dan tiba di Padang Besar 10.34 malam, manakala dari Padang Besar, tren ETS akan berlepas pada 11 pagi dan tiba di KL Sentral 4.36 petang.

"Tren tambahan ini menawarkan 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan 3,780 tiket termasuk koc kelas perniagaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan memaklumkan inisiatif itu sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi ketika musim perayaan serta menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat.

"Orang ramai digalak untuk mendapatkan tiket melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 11:55 AM